Selamat Datang ke Blog KGMMB Johor

Monday 1 October 2012

Isu-Isu Semasa





Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan tidak akan meneruskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam formatnya sekarang tetapi diubah menggunakan format baru melalui penilaian berasaskan sekolah.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pula akan diteruskan tetapi dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan format baru bagi kedua-dua peperiksaan itu akan berkuat kuasa serentak pada peperiksaan 2016. Menurutnya, kitaran kepada perubahan dasar dalam dua peperiksaan itu akan mengambil masa enam tahun dan bermula serentak pada kohort sesi persekolahan 2011.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan satu nama baru akan menggantikan PMR pada 2016 nanti.
"Maka pada ketika itu, kita akan adakan UPSR (format baru) dan mungkin PMR dalam bentuk baru yang tidak dipanggil PMR lagi," katanya selepas bersarapan pagi dengan media Malaysia dan para pegawainya di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan itu sejajar dengan tuntutan masyarakat yang tidak mahu sistem persekolahan terlalu menekankan peperiksaan. Menurutnya, masa diperlukan untuk perubahan dasar bagi memberi peluang pelajar yang masih berada dalam sistem pelajaran sekarang meneruskannya dengan ujian sedia ada. Sehubungan itu, beliau memberitahu, cara penyampaian mata pelajaran masih lagi terikat dengan apa yang sudah sedia ada.

Muhyiddin menjelaskan, UPSR akan berubah bentuk dan format, antaranya mengurangkan komposisi subjek teras kepada 60 peratus dan menambah pemberat komponen kokurikulum serta subjek yang dianggap penting seperti sivik kepada 40 peratus dalam pentaksiran keseluruhan. Subjek teras di peringkat UPSR ialah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Bahasa Malaysia (Penulisan dan Kefahaman).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira input dan pendapat jawatankuasa meja bulat penambahbaikan yang telah bersidang sebanyak tiga kali. Sejajar dengan transformasi PMR kepada format baru itu pula, Muhyiddin telah meminta Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) melihat aspek integriti pentaksiran supaya tiada sekolah yang berkecenderungan untuk bersikap berat sebelah dalam pemberian markah kepada pelajar di sekolah masing-masing.

Penilaian berasaskan sekolah bermakna pelajar akan diminta membuat folio daripada projek yang disediakan oleh guru sekolah. Contoh terdekat amalan format baru yang sedia ada adalah mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pengajian Asas Fardu Ain (Pafa). Muhyiddin berkata, beliau bercadang membawa perkara itu ke Kabinet kerana pastinya ada minat daripada masyarakat untuk mengetahui tujuan dan langkah penambahbaikan serta inisiatif baru yang hendak dibuat supaya sistem pendidikan di Malaysia tidak cenderung kepada peperiksaan semata-mata.

Bagaimanapun, katanya, perkara pokok dan penting ialah setiap peringkat kemajuan murid akan dapat nilai.
"Sesiapa pun perlu mengetahui kemajuan anak-anak mereka di sekolah," katanya. Beliau berkata, secara umumnya masyarakat bersetuju UPSR perlu dikekalkan tetapi mereka juga berpendapat mesti ada penambahbaikan.

Di atas premis inilah, katanya, maka Kementerian Pelajaran perlu memikirkan langkah penambahbaikan antaranya mengubah suai komposisi subjek teras, mungkin daripada keseluruhan 100 peratus, maka 60 peratus sahaja komposisi adalah berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih yang akan diumumkan kelak. "Baki 40 peratus adalah atas dasar kokurikulum, bidang sivik serta bidang-bidang yang dianggap penting dan perlu, tetapi pada waktu sekarang tidak dinilai secara saksama.

"Jadi ini dikira perimbangan yang sesuai. Yang ini pun perinciannya akan kita umumkan kemudian," katanya.
Bagi PMR pula, Muhyiddin berkata, umum bersetuju peperiksaan tingkatan tiga itu tidak perlu diteruskan.
Katanya, dalam dialog meja bulat yang terakhir juga, jawatankuasa bersetuju dengan cadangan kementerian supaya PMR diubah bentuknya kepada penilaian yang dibuat di sekolah.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan tanggapan penilaian berbeza-beza, jelas beliau, adalah menjadi peranan LPM untuk menyelaras bentuk-bentuk ujian yang akan dilakukan. "Ini untuk mengelakkan berat sebelah atau kecenderungan sekolah memberi markah yang lebih baik untuk sekolah mereka," katanya. Muhyiddin berkata, beliau akan mengumumkan secara muktamad dalam seminggu dua ini apabila laporan lengkap sampai ke tangannya. Beliau juga memberitahu, kementerian tidak melakukan persidangan meja bulat tersebut secara serta-merta tetapi setelah melakukan ujian rintis di banyak sekolah. Ujian rintis melibatkan 50 sekolah pada 2008 dan 500 lagi pada 2009
___________________________________________________________

Erti Sebenar Guru Cemerlang

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

Petikan UM-031209

Bahan Power Point-KGMMB