Selamat Datang ke Blog KGMMB Johor

Wednesday 5 September 2012

Dialog Nasional Pendidikan Negara












TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012
PADA 29 APRIL 2012 : PUKUL 10.30
BERTEMPAT DI DEWAN PICC



Bismillahhirrahmanirrahim.

YBhg. Dato’ Dr Rosli Mohamed
Ketua Setiausaha KPM

YBhg. Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Ahli-ahli Panel Dialog yang dipengerusikan oleh
YBhg. Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid bin Wan Mohd Noordin

Ahli-ahli Panel Penilai Bebas yang dipengerusikan oleh
YBhg. Tan Sri Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak

Tan Sri-Tan Sri, Dato Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan.

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa baraktuh.  Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.


Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat berhimpun di dewan Pusat Konvensyen  Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang serba indah ini.

Ucapan terima kasih

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana tuan-tuan dan puan-puan sanggup meluangkan masa emas tuan-tuan dan puan-puan pada hujung minggu ini sepatutnya dihabiskan masa bersama keluarga, namun atas dasar rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia maka tuan/puan sanggup hadir di sini dan mengambil peluang dan kesempatan yang disediakan oleh KPM untuk bersama-sama berbincang dan memikirkan tentang masa depan pendidikan negara kita yang tercinta.  Kehadiran tuan/puan di sini sangat bernilai bagi kami di KPM dan membuktikan bahawa tuan/puan mahu berganding bahu bersama KPM bagi menambah baik sistem pendidikan negara yang sedia ada.  Tahniah dan syabas saya ucapkan.


Pencapaian Pendidikan Negara

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, dan para hadirin sekalian,
Sejak negara kita mencapai kemerdekaan lebih 55 tahun yang lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak 25% daripada budget kerajaan untuk pendidikan.  Dengan jumlah perbelanjaan sebanyak itu,  pelbagai  pencapaian telah kita berjaya kita kecapi.  Antaranya ialah KPM telah mencapai akses enrolment sekolah rendah di sekitar 95%. Manakala peratus enrolmen bagi sekolah menengah pula mencapai 80%.  Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding pada tahun 1980an dengan hanya 45% sahaja enrolmen pelajar di sekolah menengah.

Ini merupakan satu kejayaan besar dan bermakana dengan hampir semua rakyat Malaysia telah menerima pendidikan yang memenuhi keperluan dan hak asasi seseorang individu.  Akses kepada pendidikan telah hampir menyeluruh dalam negara ini dan dapat dikecapi oleh semua lapisan masyarakat.    Namun kerajaan tidak terus berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.  Usaha demi usaha diteruskan agar akses kepada pendidikan sehingga mencapai 100%.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Namun demikian, walaupun kerajaan berjaya meningkatkan akses menunjukkan peningkatan yang begitu tinggi sejak tahun 80-an, tetapi kerajaan masih kurang berpuas hati kerana perangkaan menunjukkan sebanyak 75% pelajar sahaja yang berjaya menamatkan persekolahan pada peringkat sekolah menengah berbanding dengan 7% pada tahun 1950. Kita mahu semua rakyat kita menamatkan persekolahan menengah sepenuhnya.  Begitu juga dengan kadar literasi di negara kita. Jika kita menoleh ke belakang, kita dapati pada tahun 1950, hanya 50% sahaja rakyat Malaysia yang boleh membaca dan menulis, tetapi pada hari ini tuan-tuan dan puan-puan, pencapaiannya sudah menjangkau hampir 90%.  Ini suatu kejayaan yang amat membanggakan. Peruntukan 25% daripada keseluruhan belanjawan negara yang dilaburkan dalam pendidikan sejak 55 tahun yang lalu telah menampakkan hasilnya.

Meskipun begitu kita tidak boleh leka dan lalai dengan kejayaan ini.  Negara kita masih lagi ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan negara-negara lain yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia. Kayu ukur kita ialah negara maju.  Kita semua menyedari bahawa pendidikan merupakan teras kepada pembangunan negara.  Mana-mana negara di dunia yang berjaya adalah disebabkan kualiti penduduk yang berpendidikan tinggi.  Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi Malaysia perlu membangunkan sumber manusia melalui pendidikan yang berkualiti. Sesebuah negara yang maju akan sentiasa menjadi rujukan dunia luar. Malaysia akan menjadi penanda aras bagi negara lain.  Malaysia akan dipandang lebih tinggi serta dihormati di mata dunia.  Sebagai contoh, hari ini, Shanghai-China telah berjaya menempatkan kedudukan mereka di tangga teratas berbanding dengan 74 negara  lain dalam pencapaian literasi, numerasi dan sains (PISA). Penilaian terhadap sistem pendidikan negara menunjukkan negara berada pada kedudukan 57 berbanding negara lain dalam ujian PISA.

Begitu juga bagi TIMSS (trends in international Mathematics and Science Study) iaitu satu ujian pentaksiran dalam Matematik dan Sains.  Secara perbandingannya dengan negara-negara lain, Malaysia berada di kelompok negara yang lemah.  Prestasi TIMSS bagi murid di Malaysia menunjukkan kemerosotan pada tahun 2007 berbanding tahun 1999.     

Keputusan-keputusan ini sebenarnya menjadi asas dan titik tolak untuk kita bergerak maju.  KPM telah menetapkan kita akan berada di kelompok 5 negara terbaik dalam sistem pendidikan bagi tempoh 15 tahun akan datang.  Untuk memperoleh kedudukan bertaraf dunia, maka sistem pendidikan kita juga perlu bertaraf dunia.  Kejayaan ini dicapai dengan mentransformasikan sistem pendidikan negara agar mempunyai kualiti yang terbaik dari segi kurikulum, prasarana, kualiti guru, dan sebagainya.  Semua penambahbaikan ini diperlukan bagi meletakkan Malaysia setara dengan standard antarabangsa. 

Maka pada hemat saya sudah tiba masanya satu tranformasi dalam pendidikan dilaksanakan dan kerajaan amat komited dalam perkara ini, sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Untuk beranjak dari negara berpendapat sederhana kepada sebuah negara berpendapatan tinggi, negara memerlukan modal insan kreatif dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa yang sudah tentunya lahir melalui sistem pendidikan bertaraf dunia.  Apa yang kita Dengan perkataan lain pendidikan adalah teras kepada agenda pembangunan negara.  Pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara tidak akan terlaksana tanpa pencapaian cemerlang dalam pendidikan.   


Melaksanakan Tranformasi Pendidikan

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Dalam melaksanakan tranformasi pendidikan, pencapaian murid merupakan kayu ukur yang menentukan piawai atau kedudukan sistem pendidikan negara.  Justeru itu, saya menyarankan semua tindakan dan program pendidikan perlu menjurus kepada meningkatkan pencapaian murid.  Kementerian Pelajaran Malaysia, pengetua, guru, ibu bapa dan semua pihak berkepentingan perlu berusaha bagi memastikan setiap pelajar mencapai potensi sebenar mereka.  Kerajaan akan sedaya upaya memberi sokongan dalam membantu setiap individu dalam komuniti memastikan kejayaan anak-anak mereka dalam pendidikan.

Kerajaan prihatin dan sedar bahawa untuk meningkatkan pencapaian anak-anak bangsa, satu sistem pendidikan berkualiti yang mencapai standard antarabangsa dan sistem pendidikan yang dikira sesuai untuk semua tanpa mengira lokasi sekolah, bandar atau luar bandar, gendar, status sosio ekonomi, bangsa mahupun agama.  Pendek kata sistem pendidikan seharusnya memberi pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar di setiap sekolah.

Bagaimana pula dengan bentuk pendidikan yang berkualiti tinggi?  Pendidikan yang berkualiti tinggi seharusnya menekankan kepada:
·         Pembinaan pengetahuan kelas dunia dalam matematik, sains dan subjek-subjek utama;
·         Meningkatkan pemikiran kritis seperti kemahiran menyelesaikan masalah;
·         Membangunkan kualiti kepimpinan;
·         Mengembangkan kepelbagaian bahasa selain daripada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris;
·         Membangunkan etika dan rohani; dan
·         Membangkitkan semangat perpaduan serta identiti negara.

Penilaian Sistem Pendidikan Negara

Tuan-tuan dan Puan-puan
Kini Malaysia sedang merangka dan berusaha agar dalam tempoh 15 tahun akan datang Malaysia juga bakal meraih kejayaan sebagaimana  negara Jepun, Korea, Finland, New Zealand dan Singapura  yang mendapat kedudukan yang amat selesa dalam ranking pencapaian pentaksiran terbaik di peringkat antarabangsa.  Ke arah itu kementerian kini sedang berusaha untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Bagi menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan yang komprehensif, kajian semula terhadap sistem pendidikan negara telah dilaksanakan.  Kajian ini menjadi asas untuk memahami pencapaian dan cabaran pendidikan pendidikan negara khususnya bagi sekolah rendah dan menengah.  Meskipun begitu kajian ini juga melihat kesesuaian kurikulum sekolah dengan kurikulum di peringkat pengajian tinggi.

Hasil daripada kajian semula ini terdapat sembilan bidang yang dianggap kritikal untuk mentranformasi sistem pendidikan negara. 

Pertama, ialah memartabatkan profesion perguruan.  Kecemerlangan pendidikan hanya dapat kecapi melalui kecemerlangan dalan pengajaran dan pembelajaran.  Dapatan kajian antarbangsa menunjukkan bahawa guru yang berkulaiti mampu meningkatkan pencapaian pelajar sebanyak 50% dalam tempoh 3 tahun berbanding dengan guru yang berprestasi rendah.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan telah menambah bilangan guru dengan ratio 1 guru bagi setiap 13 orang murid iaitu lebih rendah daripada purata antarabangsa iaitu 1:16.  Dengan jumlah guru yang ada KPM memberi fokus untuk meningkatkan kemahiran bagi menyediakan modal insan masa depan.

Kedua ialah meningkat kepimpinan sekolah.  Seperti guru, pemimpin sekolah juga menyumbang kepada kualiti pendidikan.  Berdasarkan penyelidikan pemimpin yang berwibawa dapat meningkatkan pencapaian  pelajar sebanyak 20%.  Kajian juga menunjukkan sistem persekolahan yang baik meletakkan staf ditempat yang betul dan menyediakan sokongan yang mencukupi.  Dalam usaha memantapkan kepimpinan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Bai’ah (new deal) dengan memberi hadiah kepada pemimpin sekolah yang menunjukkan pencapaian yang signifiken.  Namun begitu terdapat ruang untuk memantapkan kepimpinan sekolah seperti pemilihan pengetua dan guru besar, latihan dan pelan penggantian yang berkesan.

Ketiga ialah meningkatkan kualiti sekolah.  Kualiti sekolah penting bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk kerajaan untuk meningkatkan kualiti sekolah ialah dengan memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan kondusif.   Salah satu usaha kerajaan ialah dengan meningkatkan prasarana yang ada di sekolah dengan membekalkan kemudahan ICT atau kemudahan Teknologi Maklumat jalur lebar  bagi memudahkan akses kepada informasi yang dapat membantu peningkatan ilmu di sekolah-sekolah tersebut.  Dengan jaringan komunikasi maya ini, pelbagai bahan berbentuk ilmiah dan perkembangan dunia semasa yang berkaitan dengan dunia pendidikan akan dapat meningkatkan pengetahuan dan merapatkan jurang antara sekolah bandar dan di luar bandar termasuk juga sekolah berprestasi rendah dan sekolah berprestasi tinggi. Pada Disember 2011 kerajaan telah meluluskan insiatif 1BestariNet  untuk meningkatkan infrastruktur ICT khususnya bagi sekolah-sekolah berpencapaian rendah.  Kemudahan yang dibekalkan kepada sekolah-sekolah berpencapaian rendah ini merupakan satu usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan ekuiti dalam pendidikan.

Keempat memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke 21.  Asas kepada kejayaan sistem pendidikan adalah terletak kepada kurikulum sekolah.  Kurikulum akan menentukan wajah modal insan yang hendak kita lahirkan.  Justeru itu keutamaan Kementerian Pelajaran adalah untuk mencapai kurikulum standard antarabangsa dengan menekankan kepada kemahiran kreatif, menyelesaikan masalah serta inovatif dan tidak hanya kepada pengetahuan semata-mata.

Kelima meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa.  Kementerian telah melaksanakan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris).  Kita sedar akan kepentingan kedua-dua bahasa ini dan kementerian sentiasa berusaha untuk meningkatkan penguasaan murid dalam kedua-dua bahasa ini.  Namun sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, etnik dan agama, adalah molek sekiranya murid boleh menguasai satu lagi bahasa seperti Mandarin, Tamil, Arab, Iban dan sebagainya.  Penguasaan lebih daripada satu atau dua bahasa sudah tentu dapat meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Keenam ialah penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan sosial sebagai rakan kongsi.  Seperti yang kita maklum, pembelajaran tidak hanya berlaku sewaktu di sekolah.  Jika kita memperluaskan sistem pembelajaran dan bukan hanya pembelajaran di sekolah, bermakna kita memperluaskan persekitaran dan peluang pembelajaran.  Justeru itu pihak berkepentingan di luar sekolah perlu memainkan peranan sewajarnya dan berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.

Ketujuh ialah meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja.  Kebanyakan murid yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi didapati berjaya dalam kehidupan dengan mempunyai pekerjaan yang baik.  Namun begitu timbul kebimbangan masyarakat bahawa sistem persekolahan gagal menyediakan kemahiran yang sesuai untuk pasaran kerja dan kemahiran bagi abad ke 21.   Justeru itu, kementerian telah mengadakan kolaborasi dengan pihak industri dan mengadakan tranformasi pendidikan vokasional bagi menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

Kelapan ialah memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber.  Bagi tahun 2012, sebanyak 16% daripada budget persekutuan disalurkan kepada pendidikan iaitu peratusan terbesar berbandinga kementerian-kementerian lain.  Dengan jumlah peruntukah yang besar kementerian komited untuk melaksanakan program yang berimpak tinggi untuk mencapai kecemerlang dalam pendidikan dan dilaksanakan dengan dan berkesan.

Dan yang kesembilan ialah membina kemampuan dan keupayaan sistem penyampaian. Pada masa ini terdapat kira-kira 10,000 pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 staf di peringkat daerah dan seramai 420 000 pengetua, guru besar dan guru di sekolah.    Jumlah ini menggambarkan kompleksiti kementerian dalam melaksanakan pelbagai dasar pendidikan.  Sistem pendidikan hanya akan berjaya sekiranya sistem penyampaian di setiap peringkat berupaya dan mampu melaksanakan sistem penyampaian yang cekap dan berkesan.  Elemen penting dalam menggerakkan sistem penyampaian ialah kualiti kepimpinan. 

Dialog Pendidikan

Tuan-tuan dan puan-puan,
Hasil dari kajian semula sistem pendidikan negara, KPM berhasrat untuk melihat pandangan sisi dari pelbagai lapisan masyarakat, melibatkan rakyat bersama-sama untuk turut menyuarakan pandangan mereka terhadap sistem pendidikan negara yang sememangnya sangat rapat berkaitan dengan kehidupan mereka.  Bagi melengkapkan pandangan dari pelbagai sisi, maka KPM telah mempelawa semua lapisan masyarakat untuk melahirkan pandangan dan rasa hati mereka terhadap perubahan dan penilaian yang sedang dilaksanakan ini. Pandangan dari rakyat ini akan didengar dan diambil kira dan digunapakai dalam usaha kita menjadikan kualiti sistem pendidikan kita berada di tempat yang terunggul. 

Saya percaya bahawa dialog ini merupakan medium yang paling berkesan bagi sidang hadirin menyatakan pandangan dalam pembentukan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.  Oleh itu, janganlah peluang ini disia-siakan begitu sahaja.  Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam KPM menyeru tuan-puan sekalian mengambil kesempatan ini untuk sama-sama membentuk sistem pendidikan negara.   Apabila tuan/puan kembali ke tempat tuan/puan, maka sampaikanlah salam dan jemputan saya kepada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk bersama-sama merebut kesempatan ini. KPM ingin memastikan bahawa tidak ada rakyat yang tercicir dalam memberikan idea dan pandangan.  Idea dan pandangan tuan/puan adalah penting dan amat berharga bagi kami.  Pendidikan adalah hak rakyat dan sewajarnyalah suara tuan/puan diambil kira dalam perancangan dasar pendidikan negara.  Ini memberikan implikasi bahawa tuan/puan pandangan, idea dan cadangan tuan/puan amat bermakna bagi KPM.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penutup

Selepas perhimpunan ini, akan terdapat beberapa siri dialog akan diadakan di seluruh Malaysia sehingga 14 haribulan Julai nanti. Pandangan ini boleh juga disampaikan dalam pelbagai bentuk media selain dari dialog secara terbuka di tempat-tempat yang telah dikenalpasti.  KPM berusaha menyediakan pelbagai kemudahan media sosial seperti Twitter, Facebook, website www.myedureview.com dan sebagainya bagi mencakupi pandangan yang sebanyak mungkin dan merangkumi pelbagai golongan rakyat.  Ada kemungkinan rakyat yang tidak dapat hadir secara fizikalnya di majlis dialog yang telah ditetapkan, tetapi suara mereka masih diperlukan, maka penyediaan media sosial melalui internet ini akan menjadikan dialog ini lebih mesra pelanggan.  Pastikan tuan/puan tidak ketinggalan, sama ada secara maya atau secara fizikal.  Saya yakin bahawa tuan-tuan adalah penentu kejayaan pelan pembangunan pendidikan negara.  Tuan/puan mampu melakukannya.  Oleh itu sambutlah peluang ini dan berikanlah kerjasama yang sebaik mungkin agar perancangan KPM bersama rakyat ini akan dapat meraih kejayaan yang besar.

Sekian dahulu, saya sudahi dengan ucapan wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warah matullah hi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment